ASAL USUL BELACAN

Tidak diketahui dari mana asalnya belacan kerana hampir semua negara di rantau Asia mengeluar dan memproses belacan. Sama ada dijadikan sebagai makanan atau dipasarkan. Besar kemungkinan ia dibawa masuk ke negara ini melalui para pedagang atau pendatang negara luar yang terus bermastautin di sini. Berdasarkan kehidupan seharian di Asia Tenggara, kebanyakan penduduk tertumpu di kawasan pinggir pantai sebagai kawasan penempatan. Di sini perolehan makanan didapati daripada sumber laut. Ini termasuk udang dan ikan. Oleh kerana udang datang bermusim dalam jumlah yang banyak, sesuatu harus dilakukan agar udang boleh dimakan dalam jangkamasa yang panjang. Jadi, cara yang terbaik ialah dengan cara mengawet. Belacan dibuat melalui pengalaman para nelayan yang pada mulanya hanya sekadar menjadikannya sebagai makanan tambahan. Oleh kerana sambutan yang menggalakkan dan perisa yang diminati, setiap kali datang musim, udang diperam untuk dijadikan belacan.